November 5, 2010

IMPIAN TERCAPAI


4 Nov 2010
 (Berita Harian 4th November 2010)
EKSTRA - Impian tercapai

Zaibaktian ceritakan pengalaman melawan arus untuk meningkat naik
Oleh Hanim Mohd Saleh

Tetapi penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki Baru, Zaibaktian, berjaya membuktikan pengalamannya yang baru mencecah tiga tahun dalam bidang nyanyian tidak menjadi penghalang untuk beliau bermimpi besar.

 Hasratnya untuk mengadakan konsert di Esplanade dalam tempoh tiga tahun tatkala menghasilkan single pertamanya tiga tahun lalu, tercapai sudah apabila beliau diberi penghormatan itu pada Sabtu lalu di Studio Resital Esplanade sempena Pesta Raya, menerusi acara yang diberi nama Konsert Kasut Putih - nama yang diambil kerana kegemarannya mengenakan kasut berwarna putih.


Lebih menggembirakan, beliau berpeluang bergandingan dengan penyanyi legenda, Datuk Ahmad Jais, penyanyi yang lebih awal dikenali sebagai penyanyi bersepatu putih.

Dengan suara lemak dan mantapnya membawakan lagu-lagu hitsnya, Zaibaktian menceritakan pengalamannya bermula 'agak lambat' untuk menjadi penyanyi, ketika usianya sudah menjangkau 30-an tahun. Tanpa wajah komersial, ciri yang dianggap genting untuk mana-mana penyanyi menarik perhatian ramai, Zaibaktian melawan arus dengan terus membawakan lagu-lagu yang dekat dengan jiwanya termasuk Dunia Yang Fana, diikuti Ejen Cinta serta lagu-lagu tema drama Kopi Bujang dan drama hari raya, Satu Raya, Tiga Cinta.

Para pemuzik pengiring pimpinan Nizamulmuluk Hussain yang terdiri daripada Shafiq Kamis, Yan Crossover, Yaziz, Uan Abang, Yazzit dan Omar Haron nampaknya cukup memahami rentak dan jiwa Zaibaktian dan berjaya menghasilkan permainan yang sempurna. Syabas!


Namun keadaan agak bercelaru ketika persembahan Datuk Ahmad Jais.

Ahmad Jais, seperti dulu, tetap mantap suaranya dan masih mampu menguasai pentas dengan lagu-lagu malar segarnya seperti Umpan Jinak Di Air Tenang, Gelisah dan berduet dengan Sarah Aqilah dalam lagu seperti Mengikat Janji dan Budi Setahun Segunung Intan.

Agak mengagumkan bagi seseorang yang sudah berusia 74 tahun masih dapat berdiri di tengah pentas, melaungkan suara segagah zaman mudanya.




Sayang sekali, muzik iringan kali ini tidak semantap ketika Zaibaktian menyanyi. Banyak yang tersasar. Sering kali Ahmad Jais menjeling ke belakang, mendengar dengan teliti dan memastikan nada muzik dan rentaknya selari dengan nyanyiannya.

Hentakan dram terlalu kuat dan deras, tidak sesuai dengan rentak lagu-lagu Ahmad Jais yang biasanya lembut dan tenang.

Sehingga satu ketika bunyian dram menghentak kuat mengakhiri nyanyianya, beliau dengan seloroh berkata: 'Hai, macam nak roboh! Budak-budak sekarang...!' Mujur Ahmad Jais cukup berpengalaman dan pandai mengawal suasana sehingga keseluruhan konsert tampak berakhir dengan sempurna.

Apa pun kelemahannya, mudah-mudahan banyak yang dapat dipelajari daripada konsert yang diterbitkan oleh syarikat Cokelat Events and Productions.




Gandingan penyanyi lama dan baru dalam sebuah pementasan merupakan satu langkah yang baik untuk mendekati peminat daripada generasi yang berbeza.

Mudah-mudahan penggemar muzik muda akan lebih menghargai muzik orang lama sementara penggemar muzik lama kini terbuka hati untuk menyokong artis-artis muda yang berpontensi untuk melangkah jauh.

Labels: , , , ,

ZAIBAKTIAN ]|[ Friday, November 05, 2010

November 1, 2010

Mr Ajmain Will See You Now

Mr Ajmain Will See You Now

ZAIBAKTIAN ]|[ Monday, November 01, 2010

October 31, 2010

Gumbira!

Gumbira!

ZAIBAKTIAN ]|[ Sunday, October 31, 2010

September 27, 2010

1 Raya 3 Cinta - Zaibaktian



Above is the official MTV of the theme song, of the Hari Raya telemovie entitled "1 Raya 3 Cinta".
It was aired on Hari Raya eve, 9th of September @9pm, on SURIA.

Lyrics to this theme song was written by myself and song was composed by myself & Shafiq Kamis, guitarist from the band "KLUTZ".
This MTV was directed by Rafaat Hamzah with Shahrezza Zuhri as DOP.

I am honoured to have my supportive brothers on this MTV - Yan Crossover on bass, Amin Salleh on guitars & Riduan Zalani on drums.
It was filmed in ungodly hours - past midnite till 6 am in the morning - and it was the fasting month of Ramadhan.
So kudos to everyone involved in this MTV production :)

ZAIBAKTIAN ]|[ Monday, September 27, 2010

September 20, 2010

KONGSI IMEJ, KONGSI PENTAS

KONGSI IMEJ, KONGSI PENTAS
Dua penyanyi dari dua zaman, Ahmad Jais dan Zaibaktian, akan digandingkan dalam Konsert Kasut Putih
By Hanim Md Salleh
19 Sept 2010


MEREKA datang dari dua era berbeza dengan lagu-lagu yang jauh berlainan genrenya.

Tetapi kerana berkongsi imej sebagai penyanyi yang suka memakai kasut putih, penyanyi Zaibaktian berpeluang berkongsi pentas dengan seniman veteran yang telah lebih dulu dikenali sebagai 'penyanyi berkasut putih,' iaitu Datuk Ahmad Jais.


Bezanya, sementara kasut Ahmad Jais biasanya agak tinggi tumitnya (dua inci atau 6.4 sentimeter), Zaibaktian pula gemar mengenakan kasut yang leper tapaknya dan memancang di bahagian depan.

Dua penyanyi tersebut akan sama-sama muncul dalam Konsert Kasut Putih, sempena Pesta Raya, yang akan berlangsung di Studio Resital Esplanade pada 30 Oktober ini.

Ketika dihubungi, Zaibaktian, yang popular dengan lagu Lelaki Baru, berkata idea menggabungkan beliau dengan Datuk Ahmad Jais diusulkan oleh penerbit konsert, Rafaat Haji Hamzah, yang juga pengurusnya dari Floppy Records.


Kebetulan, Rafaat, yang juga pelakon popular tempatan, meminati lagu-lagu Ahmad Jais.


Menceritakan bagaimana beliau mula muncul dengan kasut putih, Zaibaktian berkata:
'Memandangkan saya ini tak pandai bergaya dan bermula agak lambat sebagai penyanyi, saya dinasihatkan kawan-kawan agar memikirkan satu imej yang dapat membantu orang ramai lebih mudah mengingati saya secara visual.

'Kerana saya gemarkan warna putih, saya mengambil keputusan menggunakan warna itu sebagai asas pakaian saya... baju putih, kot putih, topi putih dan kasut pun putih.


'Anehnya, kalau saya berpakaian putih, tak ada pula orang mengusik saya. Tetapi kalau saya pakai sepatu putih, orang panggil saya Ahmad Jais. Apa pun, saya tak kecil hati kerana saya menghormatinya dan memang membesar dengan lagu-lagunya,' kata penyanyi itu lagi.


Sementara itu, Ahmad Jais yang kini menetap di Shah Alam, Selangor, ketika dihubungi menerusi panggilan jauh, mencuit hati wartawan apabila beliau bertanya tentang Espalande Teater Di Pesisiran.


'Setahu saya, Esplanade tempat jual sate, ada padang besar. Mana ada tempat konsert? Kalau Panggung Victoria, itu saya tahu,' ujar penyanyi berusia 74 tahun itu.


Katanya, sudah lebih 30 tahun beliau tidak mengadakan konsert solo atau eksklusif di Singapura. Kalau ada pun, beliau merupakan salah seorang penyanyi jemputan untuk acara-acara di ekspo dan menjadi bintang undangan konsert Ismail Haron.


Pada 2004, beliau pernah mengadakan konsert solo selama empat malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Walaupun beliau tidak dapat menggambarkan bagaimana bentuk Esplanade Teater Di Pesisiran, Ahmad Jais berkata beliau bersetuju untuk membuat persembahan bersama Zaibaktian kerana mahu menyokong persada muzik Singapura.


'Kita kena sokong budak-budak muda. Dulu pun saya muda dan suka diberi perangsang. Selain itu, Singapura dekat dengan hati saya kerana lagu-lagu popular saya banyak dirakamkan di Singapura, gubahan Kassim Masdor dan tulisan Yusnor Ef,' ujar bapa empat orang anak itu. Bahkan sembilan daripada 10 cucunya menetap di Singapura.


Apabila ditanya tentang kasut putihnya, beliau mengakui memilih warna itu kerana sukakan imej bersih.


Apa yang menarik perhatian, beliau rupa-rupanya tidak pernah membeli kasut di kedai, sebaliknya kesemua kasutnya, ditempah.


Bahkan semua seluar dan bajunya juga ditempah.


'Kalau saya tak tempah, takut seluar menyapu lantai atau tumit terlalu rendah,' jelasnya.


Bagaimanapun, sejak usianya meningkat senja, tinggi tumit kasutnya dikurangkan kepada 6.4 sentimeter saja.

'Saya pun dah semput-semput selalu. Kena jaga-jaga,' ujarnya.

Kalau Ahmad Jais mempunyai repertoire lagu yang cukup untuk konsert lebih sejam atau dua jam, sebagai penyanyi baru, Zaibaktian boleh dianggap beruntung kerana mempunyai beberapa lagu yang popular kerana digunakan sebagai lagu tema drama-drama tempatan.

Baru-baru ini, beliau menyanyi untuk lagu tema drama Hari Raya, Satu Raya Tiga Cinta yang dicipta Zaibaktian dan Shafiq Khamis.

Untuk siri drama baru, Kopi Bujang pula, beliau bergabung tenaga dengan Moe Masri dan Syed Azmir dalam dua lagu yang dihasilkan.


Singlenya, Dunia Yang Fana pula akan dijadikan lagu tema untuk drama Hari Raya Aidiladha.


'Saya gembira kerana hasrat saya meluaskan peranan dalam seni sejauh ini berada di landasan yang betul. Saya tak mahu setakat menyanyi dan buat album kerana bidang muzik dan nyanyian ini begitu luas. Alhamdulillah, lagu-lagu saya diterima sebagai lagu tema drama dan rasa bersyukur diberi tempat untuk menyanyi di Esplanade bersama seniman legenda.

'Insya-Allah, selepas lima tahun menimba pengalaman, saya bersedia menjadi penerbit pula,' kata Zaibaktian.Menurut Rafaat pula, konsert itu akan menghidangkan sekitar 15 lagu dengan sebahagian besarnya dinyanyikan oleh Ahmad Jais.

Untuk lagu duet, penyanyi Sarah Aqilah diundang untuk mengalunkan lagu-lagu yang pernah dirakamkan bersama Ahmad Jais dengan Rafeah Buang atau Kartina Dahari. Zaibaktian juga dijangka bergabung suara dengan penyanyi veteran itu.

Konsert Kasut Putih akan bermula 8 malam. Tiket berharga $19 boleh dibeli di Sistic.


Labels: , , , , , , ,

ZAIBAKTIAN ]|[ Monday, September 20, 2010